PESTA CANDAT SOTONG 2019 Cetak
Oleh Administrator   
Isnin, 24 Jun 2019 00:00

 

MARANG, 23 Jun - Sekitar 300 peserta menyertai pertandingan sempena Pesta Candat Sotong Marang 2019 yang pertama kali diadakan di Daerah Marang.Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil. Sebanyak 30 buah bot telah disediakan untuk program berkenaan.

 

"Mencandat sotong ini merupakan tarikan kepada daerah Marang dan ini adalah satu inisiatif mempromosikannya sebagai satu destinasi pelancongan dalam negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan peserta candat di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), semalam. Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ketua Pengarah Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dato' Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.

 

Dalam perkembangan sama, Tuan Pegawai Daerah Marang menyatakan, program anjuran pejabat daerah dengan kerjasama LKIM Terengganu dan persatuan-persatuan nelayan tempatan itu adalah sebahagian daripada agenda besar dalam mempromosi daerah Marang.

 

Kita menumpang nama candat sotong kerana ia telah terkenal. Tetapi, dalam masa yang sama kita memperkenalkan produk lain Marang. “Antaranya ialah Pulau Kapas yang menjadi lubuk utama candat di daerah ini serta Sungai Marang yang menarik untuk disusuri pengunjung,” katanya.

 

Beliau juga meletakkan matlamat untuk menjadikan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan terbaik. “Sekarang, Marang merupakan produk baharu pelancongan Terengganu, insya-Allah selepas setahun, kami meletakkan sasaran bahawa Marang akan menjadi destinasi utama pelancongan negeri Terengganu,” katanya.

 

Dalam Pesta Candat Sotong 2019 yang berakhir hari ini, pasukan Hexatrand dinobat sebagai johan pertandingan apabila berhasil mendapatkan sotong dengan berat keseluruhan sebanyak 71 kilogram (kg).Manakala, pasukan Kuda Laut dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat tempat kedua dengan berat keseluruhan sebanyak 61.5kg serta pasukan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) di tempat ketiga dengan 37.5kg.

 

 

 

DiKemaskini Pada Ahad, 15 Desember 2019 11:01
Jumlah Capaian Ke Laman ini :316 kali.